MESEJ TERSIRAT DALAM NOVEL PENGABDIAN

SOALAN: DALAM NOVEL PENGABDIAN PENGARANG JUGA INGIN MENYAMPAIKAN MESEJ TERSIRAT MENERUSI PERISTIWA YANG TERSURAT. BINCANGKAN MESEJ TERSIRAT DENGAN MEMBERIKAN CONTOHNYA.

Pendahuluan:
Mesej tersirat bermaksud sesuatu pesanan /pengajaran yang disampaikan secara halus atau sembunyi. Mesej tersirat boleh dikenal pasti melalui peristiwa yang dilakukan oleh watak-watak di dalam Novel Pengabdian. Dalam novel Pengabdian terdapat banyak mesej tersirat. Diantaranya:

 Sayangilah ibu kerana kasih sayang seorang ibu itu tiada bandingannya.
Kasih sayang seorang ibu memang tiada tolok bandingnya. Dalam Novel Pengabdian juga terdapat tentang kisah kasih seorang ibu kepada anaknya. Misalnya kasih sayang Fatimah kepada anaknya Hannah. Fatimah merasa risau apabila mendapat khabar bahawa anaknya Hannah mengalami kemalangan. Walaupun Hannah sering tidak mendengar nasihatnya. Dia juga sanggup menjaga anaknya Hannah ketika Hannah mengalami koma.

Selain itu, Fatimah juga bersusah payah menguruskan perkara Zul walaupun Zul sudah memalukannya. Kemudian Fatimah juga merasa sedih bila mengetahui anaknya Siti Nur menghidap penyakit kanser ovari yang tidak akan dapat diubati. Kalau takdir dapat diubah, Fatimah sanggup mengganti tempat Siti Nur.

Faridah juga menunjukkan kasih sayang seorang ibu. Walaupun Azmil adalah anak angkat namun Faridah menganggap sebagai anaknya sendiri. Buktinya dia merasa risau akan kesihatan Azmil yang menghidap jantung berlubang dan perlu menjalani pembedahan segera. Faridah tidak pernah berputus asa untuk memujuk Khalid supaya membaca surat daripada Siti Nur agar Khalid insaf.


Jangan bersikap degil dan tidak mendengar nasihat
Misalnya Zul yang dinasihati oleh Fatimah agar menggunting rambutnya yang panjang sebelum majlis perkahwinan. Namun nasihat ibunya itu sama sekali tidak didengarnya dan masih berambut panjang ketika majlis perkahwinan. Zul juga dinasihatkan oleh ibunya agar mengerjakan tanah TOL namun Zul tidak mengendahkan nasihat ibunya itu kerana baginya tidak sesuai dengan kelulusannya yang tinggi. Akibatnya dia masih lagi menganggur.

Janganlah terlalu mementingkan hal lain daripada hal keluarga sendiri.
Mesej tersirat ini dapat dilihat melalui Marof yang lebih pentingkan hal sukan daripada hal keluarganya misalnya hal Zul. Seharusnya sebagai seorang bapa, Marof patut mementingkan hal mengenai Zul yang amat penting untuk diselesaikan kerana hal ini melibatkan maruah keluarga. 

Selain Marof, Zul juga bolehlah dikatakan telalu mementingkan hal lain daripada keluarganya sendiri. Misalnya dia suka keluar malam tanpa memikirkan akan perasaan isterinya Marina hinggakan mereka bertengkar. Dia juga tidak memikirkan akan perasaan ibunya bilamana dia telah melakukan zina dengan Marina.

Janganlah bergaul terlalu bebas sehingga melupakan hukuman agama Islam.
Contohnya Zul dan Marina yang dikisahkan terlalu bebas bergaul hingga melakukan zina. Lebih teruk lagi hal perbuatan mereka menyebabkan Marina mengandung. Disebabkan Zul tidak mahu bertanggungjawab Marina menggugurkan kandungannya dan cuba membunuh diri. 

Hannah dan Wardi juga bergaul terlalu bebas namun tidak sampai melakukan zina. Pengarang mahukan pembaca agar jangan melakukan perbuatan seperti Zul dan Marina serta tidak mencontohi Wardi dan Hannah kerana akan mendatangkan kesan buruk.

Janganlah memperjuangkan sesuatu yang sia-sia kerana hanya akan merugikan diri sendiri.
Mesej tesirat ini dapat dilihat melalui Khalid. Dalam novel Pengabdian, Khalid diceritakan berada dalam penjara kerana terlibat dalam pemberontakan. Dia sanggup berada di penjara mempertahankan perjuangannya menentang kerajaan. Sedangkan perjuangannya tersebut adalah sia-sia.

Khalid pada mulanya enggan meminta pengampunan daripada pihak kerajaan walaupun berulang kali dipujuk isterinya dan Siti Nur. Sedangkan anak angkatnya Azmil memerlukannya kerana perlu menjalani pembedahan jantung dengan seberapa segera. Jelas disini mesej yang ingin disampaikan adalah agar kita tidak memperjuangkan sesuatu yang sia-sia kerana merugikan diri sendiri.


Janganlah memandu tanpa menumpukan perhatian kerana ia hanya akan mendatangkan bahaya.

Mesej ini pula dapat dilihat pada watak Junaidi  yang memandu kereta sambil bergurau dengan kawan-kawannya.  Pada ketika itu mereka dalam perjalanan ke pesta. Sebagai pemandu, Junaidi perlu berhati-hati dan mengikuti peraturan had laju yang ditetapkan. Namun Junaidi melakukan sebaliknya hinggakan akibat perbuatannya akhirnya mereka terlibat dengan kemalangan. Kemalangan yang mengakibatkan kematian dan Hannah koma. 

Kita sebagai pembaca, tidak boleh mencontohi cara Junaidi memandu kerana bukan saja membahayakan diri kita malah juga akan membahayakan nyawa orang lain.


Penutup
Sebenarnya masih banyak mesej tersirat yang terdapat di dalam Novel Pengabdian. Di atas hanya merupakan sebahagiannya sahaja.


* Bagi makluman pelajar mesej tersurat (yang dapat dilihat) novel Pengabdian ialah mengabdi diri kepada tugas dan bangsa (dapat dilihat isi cerita novel Pengabdian dari membabitkan Siti Nur sebagai watak utamanya)

Ulasan

Catatan Popular